Terima kasih daun keladi, silalah bertamu lagi.. Novel , akan datang: Disember 2010

Terima kasih daun keladi, silalah bertamu lagi..  Novel , akan datang: Disember 2010
Sudah terbit Feb 2011

Promo Cinta Sikunang-kunang

Lokasi cinta: Bukit Mertajam (seberang perai),Melaka, New York dan Toulouse (Perancis) Petikan hanya 1/2 bahagian sahaja.
Promo Pengenalan.
Promo Bab 1 Intan Irdina : aku adalah Irdina.(petikan 1-3) Ditamatkan di tempat /situasi yang sama.
Promo Bab 2 Kapten Adam Farqis: aku adalah Adam..Ditamatkan dengan tempat/situasi yang sama.
Promo Bab 3:aku adalah Intan Adeena. Ditamatkan dengan situasi/tempat yang sama..
Promo Bab 4:permulaan bab yang baru. Tiada gantinama 'aku' lagi... (bahagian 1 sahaja)
Promo Bab 5. Cerita mama... (bahagian 1 sahaja)
Promo Bab 6: bahagian 1 sahaja
Promo Bab 7: Bahagian 1 sahaja
Promo Bab 8: Bahagian 1 sahaja
Promo Bab 9: Bahagian 1 sahaja
Promo Bab 10: Bahagian 1 sahaja
Bab Ending.. Bab 10 : Bahagian 9 : akhir bab..
Pendapat pembaca: Lihat Reviews Pembaca.

Followers

Ruang Komentar.. Terima Kasih atas komen/soalan anda..

Tuesday, January 11, 2011

Promo, bab 3, Petikan 1

. BAB 3 : INTAN ADEENA BINTI IDRIS @ DI

1

Hujan yang menitik laju dari dada langit melegakan hawa panas yang terasa sejak subuh dinihari. Kanak-kanak di Tadika Bright Mind Montessari kelihatan sedang ligat bermain. Pagi-pagi ini biasanya kanak-kanak sangat bertenaga. Mereka mempunyai tenaga yang penuh, bagaikan bateri yang baru dicas.

Melihat titisan manik jernih yang turun melimpah dengan rahmat Allah, fikiran menerawang jauh kepada Intan. Alangkah beruntungnya menjadi Intan. Hidupnya bagaikan disimbahi cahaya pelangi pagi. Dia berpeluang meneroka setiap inci bumi yang luas ini melalui pekerjaannya. Dia kerap menjelajah Malaysia saban minggu. Bukankah ‘jauh perjalanan luas pengalaman’? Dan aku sendiri hanya terperuk di sini. Hidupku hanya berlegar antara Tadika Bright Mind Montessori dan Bandar Tun Razak sahaja. Paling tidak pun aku hanya berpeluang ke bandar bagi mendapatkan keperluan untuk membuat kek jika mendapat tempahan. Aku jarang mendapat peluang untuk keluar ke Bandar Raya atau ke negeri lain seperti Intan. Di rumah juga, sekiranya tidak terperap di bilik atau di dapur,di ruang tamu yang sempit itulah aku akan duduk bersama ibu menikmati tayangan filem atau drama daripada televisyen kecil kami yang hanya bersaiz empat belas inci. Menjemukan. Tetapi apalah dayaku untuk keluar daripada kitaran hidup yang begitu. Alangkah baiknya sekiranya ada jejaka tampan yang berkereta mewah datang dan menyelamatkan aku daripada hidup di sarang merpati itu. Akan aku bawa ibu untuk hidup bersamaku dengan lebih selesa.

“Di,” Terdengar namaku dipanggil. Panggilan itu menamatkan anganku.

“Berangan ya. Kak Amy nak keluar sekejap lagi. Ada mesyuarat penyelarasan kelas Montessori di Putrajaya. Ikut jadual macam biasa. Kalau ada apa-apa hal, telefon kak Amy.”

Arahan yang diberikan kak Amy, lembut tetapi bernada tegas. Dari sifatnya, selalu aku melihat kanak-kanak di tadika ini yang tidak berani membantah arahan yang diberikan Kak Amy walaupun arahannya berbunyi perlahan dan lembut, persis seorang ibu sebenar kepada anak-anaknya. Aku sering juga meniru arahan Kak Amy, tapi nampaknya kadang-kadang arahanku ‘tidak lut’ dek budak-budak di tadika ini. Seringkali mereka bersikap ‘tuli’ terhadap arahanku. Tetapi aku tidaklah menganggap kanak-kanak ini sebagai ‘degil’ atau mereka disinggahi sindrom ‘bebal’. Mungkin disebabkan mereka lebih beranggapan aku sebagai kakak, tidak seperti Kak Amy yang lebih bersikap ibu. Kata-kataku mahu pun kawanku, Mashita sering tidak diendahkan sepenuhnya oleh kanak-kanak ini. Akan aku selalu ingat pesanan Kak Amy, “Kids being kids.” Tidaklah perlu diendahkan sangat perilaku mereka. Asalkan jangan sampai ada yang tercedera.

Aku suka bekerja di sini. Berada dalam persekitaran kanak-kanak sentiasa menjadikan diriku terasa muda, riang, energetik, terasa seolah-olah tidak mempunyai masalah dalam hidupku. Secara terang-terangan, hidupku tidaklah mempunyai masalah pun. Mempunyai makan, pakaian yang mencukupi, ibu yang penyayang, penuh dengan kasih sayang. Cuma, aku kepingin akan hidup yang lebih mewah.

“Kan best kalau aku kaya macam Valentino!” Aku merungut sendirian. Cerita perihal Valentino atau pun Queen Elizabeth sudah menjadi seakan hafalan bagiku kerana aku sering berangan untuk menjadi kaya seperti mereka. Alangkah seronoknya menjadi Queen Elizabeth yang mempunyai Istana Windsornya yang dikatakan antara istana paling mewah dan terbesar di dunia. Windsor ini merupakan rangkaian istana-istana mewah yang diwarisi oleh keluarga diraja Britain, termasuk juga Istana Buckingham di London serta Istana Holyrood di Edinburge. Aku sekadar teringin mempunyai rumah yang menjadi ‘istanaku’ yang lebih selesa. Rumah yang kami tinggal seumur hidupku sudah menjadi seperti penjara yang mengikat setiap otot dan sarafku. Intan, ternyata lebih beruntung. Sesekali dia dapat menikmati kamar mewah di hotel apabila dia ke luar daerah. Memerdekakan diri daripada belenggu kesederhanaan adalah satu anugerah. Dan aku mungkin terperangkap sampai ‘mati’ di istana hinggap kami.

`Cik Di oi, kita perlu sediakan sarapan, sudah pukul 8.00 pagi.’ Suara perlahan seolah berbisik di telinga kiriku. Sekali lagi anganku dimatikan. Bernoktah di sini.

“Okey.” Aku menjawab ringkas dan segera berlalu ke dapur. Kebiasaannya sarapan pagi disediakan pada jam 9.00 pagi tetapi memandangkan ramai anak-anak ini yang tidak sempat bersarapan di rumah,Kak Amy mencadangkan agar waktu makan pagi diubah. Kami menyediakan roti bakar yang disapu dengan marjerin serta susu sebagai hidangan pelengkap.

“Pelik kan Di dengan mak-mak budak-budak ni,makan pagi pun tak sempat disediakan.”

“Kehidupan moden. Semua orang sibuk,” Aku menjawab soalan Mashita yang kupanggil Ita.

“Ala, roti bakar pun takkan tak boleh buat. Bukannya susah sangat. Tengoklah budak-budak ni makan dengan lahap. Macam tak makan beberapa hari dah.” Ayat yang disambungnya melucukan sangat. Apabila aku segera memandang kanak-kanak yang sedang makan dengan lahap, kata-kata lucu tadi bertukar sayu. Sepatutnya sebelum bertolak ke tadika ini, mereka sudah diberi makan, sekurangnya sekeping roti untuk mengalas perut, tidaklah mereka melahap ketika makan.

“Sayang, makan perlahan-lahan ya. Nanti tercekik,” segera aku merapati Farihah. Kanak-kanak yang kupanggil namanya ini hanya tersengih memandangku. Kuusap perlahan kepalanya. Dia terus memelukku.

“Aduh, manjanya.” Usik Ita lagi. “Macam ulat aje lakunya, pantang diusik, melekat aje.” Ita menyambung hujah singkatnya yang ternyata menggeletek sukmaku. Kami tergelak bersama.

Sepetang bersama mereka melelahkan juga. Aku seperti biasa, berjalan perlahan menuju ke flat ‘istana hinggap’ kami. Menyaksikan kanak-kanak bermain di padang pemainan membuatkan aku berfikiran jauh. Kanak-kanak ini umpama rumput yang tumbuh melata di bumi. Jika sang mentari memancar sinar terang, dengan siraman air hujan yang mencurah dari langit yang membiru, pasti segalanya akan tumbur segar dan indah. Pasti kita sudah hafal akan sepotong hadis yang menerangkan mengenai kanak-kanak ini. Mereka umpama sehelai kain putih yang hanya menunggu masa untuk dicorakkan oleh ibu dan bapa. Kalau hitam yang diwarnakan, hitamlah jadinya mereka. Sekiranya ‘hijau’, hijaulah seluruh hidup mereka. Masalahnya ‘minda’ kanak-kanak ini sudah banyak sangat ‘dikuningkan’ kesan terjahan budaya Barat dari luar.

Bunyi hon kenderaan membuatkan lamunanku ternoktah. Sebuah kenderaan mulai berhenti di sisi kananku.

“Di, jom abang hantar balik!” Suara yang mempelawaku kukenal benar. Abang Zulkifli.

“Ala bang, dah dekat pun. Lagi 10 minit sampailah.” Aku kenal benar pelawaan manisnya. Apabila aku jejakkan sahaja kaki ke dalam kereta Vivanya, pasti dia akan mengajak aku meronda, paling tidak akan singgah di kedai makan di hujung taman.

“Ala, please.” rayuan suaranya inilah yang melelahkan hati Hawaku. Tidak sampai hati pula rasanya mengecewakan permintaannya itu. Apalah sangat kalau aku menumpang ke keretanya. Tidak ada sekelumit rugi pun yang akan aku tanggung.

“Kita pergi minum dulu.” Telaahku tepat belaka.

“Cantik baju kurung Di.” Berkotak teka-teki dalam sanubariku. Apalah agaknya agenda di sebalik pujiannya. Padaku, baju biru muda bercorak bunga dengan warna merah muda ini hanyalah sepasang baju lama yang sudah tiga tahun usianya. Apalah sangat cantiknya, baju lama yang murah harganya. Dalam hatiku menempelak, ‘Abang ni buta mata ke apa?’ Selepas persoalan ini, dalam hatiku berbisik sayu, `maaflah abang ya!’

“Sebenarnya, apa agenda abang ni?” Dalam hati sekali lagi berbisik perlahan, `Maaflah abang. Aku tidak akan tahan untuk tidak berkata jujur. Orang berzodiak Libra, barangkali perkataannya sehangat api. Lajunya bagaikan roket tak bertepi. Kalau terasa di hati, janganlah pula dibawa mati.’

“Tak ada apa. Teringin sangat mahu menemani Di sampai mati.” Hah, pelik sangat perkataan mamat ni. Terasa pedas menyengat gegendang telinga. Aku hanya pura-pura bodoh, seolah gagal memahami perkataan yang keluar dari bibir yang berkumis nipis ini.

“Maksud abang nak kita mati bersama?Tak naklah macam ni. Hidup sama-sama kira okey, mati, oo, tak naklah mati sama.” Aku pura-pura ketawa seolah-olah tidak mengerti bahasa hatinya tetapi dia membisu sahaja. Nampaknya lawakku tidak menjadi.

“Abang ingat tak, dulu masa kita bersekolah dulu, abang selalu kata, kita kawan kan bila Di atau Intan merajuk.” Sengaja aku heret dia kepada memori lama kami. Sejak kecil, dia seolah menjadi guardian angel kami. Dia akan melindungi kami dengan menemani kami berdua pergi dan balik dari sekolah. Kami bukan sahaja akan selamat daripada dibuli oleh kanak-kanak lain, malah dia akan memastikan bekalan tengah hari daripada ibu akan kami terima sekiranya perlu pulang lewat dari sekolah.

“Ini janji Di, bang. Kita akan berkawan sampai mati.” Dia tersenyum sahaja. Aku tidak dapat membaca mesej apakah yang telah singgah dalam fikiran jantannya. Padaku, mesejnya jelas sekali. Kawan bermakna dia adalah sahabat yang akan melindungi diriku daripada kejahatan dan kebatilan. Dia yang tidak akan melukakan fizikalku, mindaku malah memori kami dengan sebarang bentuk kejahatan. Bukan aku tidak menyukainya, tapi cukuplah sekadar dia menjadi ‘abang’ kepada kami yang tidak mempunyai saudara lelaki. Sukar sekali dirasakan untuk berkongsi hidup bersama dia yang banyak menyimpan segala kelemahan riwayat hidupku. Maklumlah, sejak hingusan lagi, kami sudah bersama.

“Sekiranya abang kahwin nanti, Di akan buatkan kek empat lapis. Abang nak kek coklat? atau kek rasberi?” Kali ini pandangan mataku tertikam dek panahan matanya yang sayu. Dalam kelopak matanya yang memandang tepat ke wajahku seolah menceritakan kekecewaan dalam sanubarinya. Aku hanya berpura-pura tidak memandang ke dalam anak matanya, sebenarnya melebihi kepada tidak sanggup untuk menafikan yang aku mengerti akan hatinya yang sopek setelah perasaannya terhadapku kutolak secara tidak langsung.

“Ala abang ni, Di buat tawaran hebat pun abang marah juga? Jangan suka marah-marah bang, nanti kena jual.” Aku cuba mengajuk dialog P.Ramlee dalam Tiga Abdul tetapi dia masih membisu seribu bahasa. Agaknya masih marah dengan kata-kataku sebentar tadi.

“Bang, Di kena balik ni. Mak Di kata nak keluar malam ni.” Dia sepi sesepi angin yang menerobos perlahan dan sayu melalui cermin tingkap yang aku turunkan tadi. Selalunya, kalau kami ingin keluar ke mana-mana, dia tanpa dipinta akan menjadi ‘pak supirnya’. Kali ini, nampaknya, dia terpaku dek jawapanku yang barangkali mengguriskan hatinya.

Dia memparkirkan keretanya jauh dari blok kami. Agak luar biasa untuk dia bertindak sedemikian. Kebiasaannya, dia mungkin secara sengaja akan meletakkan keretanya di blok kami walau pun rumahnya berada dua blok jauhnya.

“Abang sedar siapa abang. Di tak akan sudi untuk bersama abang. Abang saja yang berfantasi. Bermimpi di siang hari.” Nada ucapannya perlahan dan lunak singgah di telingaku, seolah bagai dicubit perlahan. Buat pertama kalinya, aku gagal mencari perkataan yang sesuai untuk diberi.

“Di ingat orang mimpi kalau tidur aje. Abang bermimpi sekarang ni?” Berpura-pura memancing dia dengan ayat gurauan. Nampaknya dia langsung tidak tercuit dengan kata-kata gurauan tersebut.

Teringat sewaktu kecil dahulu, bagai terhafal dalam sanubariku. Setiap kali aku diusik budak-budak lelaki lain, dia akan segera datang dan menjawab perkataan magisnya.

Segera aku cuba bawakan dia ke memori lama lagi. “Abang ingat perkataan magis abang ketika kita kecil dulu? Abang katakan, saya ni abang mereka. Kalau nak ganggu mereka, langkah mayat saya dulu. Di sayangkan abang macam abang kandung sendiri. Entah-entah kalau ada abang sendiri pun, tak akan segagah abang begini.” Kulihat dia tersenyum walaupun terukir riak kurang selesa di wajahnya. Mungkin dia kesal dengan perkataan aku tadi.

Sebelum aku turun daripada kereta Viva putihnya, sempat aku berseloroh, ”Ala abang ni, gurau sikit pun tak boleh.” Malangnya gurauanku tidak bersambut. Dia hanya tersenyum kelat. Ada sekeping hati yang aku lukai hari ini. Maafkan aku Abang Zul, tidak pernah pun terlintas di hati untuk melukai hatimu.

1 comment:

  1. Tak sabar nak baca cikgu! Feb macam lama sangat... noor atikah

    ReplyDelete