Terima kasih daun keladi, silalah bertamu lagi.. Novel , akan datang: Disember 2010

Terima kasih daun keladi, silalah bertamu lagi..  Novel , akan datang: Disember 2010
Sudah terbit Feb 2011

Promo Cinta Sikunang-kunang

Lokasi cinta: Bukit Mertajam (seberang perai),Melaka, New York dan Toulouse (Perancis) Petikan hanya 1/2 bahagian sahaja.
Promo Pengenalan.
Promo Bab 1 Intan Irdina : aku adalah Irdina.(petikan 1-3) Ditamatkan di tempat /situasi yang sama.
Promo Bab 2 Kapten Adam Farqis: aku adalah Adam..Ditamatkan dengan tempat/situasi yang sama.
Promo Bab 3:aku adalah Intan Adeena. Ditamatkan dengan situasi/tempat yang sama..
Promo Bab 4:permulaan bab yang baru. Tiada gantinama 'aku' lagi... (bahagian 1 sahaja)
Promo Bab 5. Cerita mama... (bahagian 1 sahaja)
Promo Bab 6: bahagian 1 sahaja
Promo Bab 7: Bahagian 1 sahaja
Promo Bab 8: Bahagian 1 sahaja
Promo Bab 9: Bahagian 1 sahaja
Promo Bab 10: Bahagian 1 sahaja
Bab Ending.. Bab 10 : Bahagian 9 : akhir bab..
Pendapat pembaca: Lihat Reviews Pembaca.

Followers

Ruang Komentar.. Terima Kasih atas komen/soalan anda..

Sunday, January 16, 2011

Petikan Bab 5, bahagian 1

BAB 5: TERJEMAHAN CINTA
1
Adam separuh menjerit mendengar penjelasan mamanya bahawa dia telah merisik dan akan melamar Adeena sebagai menantunya. “Mum, you cannot do this to me! Mum please. Adam cintakan Intan. Bagaimana mama mahu Adam berkahwin dengan Adeena pulak. Mama tak boleh lakukan sebegini. How come you do this to me mum.” Adam merayu lagi. Kusyen kulit Lorenzo berwarna kuning cair bagaikan tidak empuk lagi baginya. Terasa bagaikan selumbar yang menusuk belakangnya. Ruang rehat di tingkat atas banglo tiga tingkat ini bagaikan dipenuhi dengan suara ibu dan anak lelaki Datin Zurina sahaja.
“I did the best for you.” Datin Zurina segera menyatakan maksud ikhlas di hatinya. Segera Datin Zurina merenung Adam yang berada di hadapannya. Dilihatnya wajah ceria Adam bertukar berwajah kelat. Wajah Adam yang berambut lurus dan nampak tenang, kelihatan berkerut-kerut.
“Tapi mama, inikan soal hidup Adam. Bukankah Adam yang patut membuat keputusan?” Mata Adam terus merenung Datin Zurina kembali, seolah meminta simpati dan penjelasan yang panjang lebar. Dalam hati Adam berasak-asak perlahan, tetapi berulang, “Mum, can you understand my feelings?”
“Adam fikir mama membuat keputusan berat ini tanpa berfikir baik dan buruk? Walaupun mama belum bertemu Intan, mama telah meneliti semua perkara antara mereka berdua. Adam perlukan isteri, bukan eksekutif atau pakar ekonomi. Mama yakin Di boleh menjadi isteri yang baik kepada Adam. Juga menantu yang baik terhadap keluarga kita. Mama tak mahu seorang isteri yang hanya menjadi isteri dari jam 10 malam ke 6 pagi. Adam, dengar cakap mama.” Datin Zurina terus membicarakan dengan jelas keputusan yang dia ambil.
“Kan Adam sudah bagitahu mama yang kami akan berkahwin dua tahun lagi. Adam tak kisah menunggu dua tahun lagi. Kenapa mesti sekarang mama? Kenapa sekarang?”
“Adam bukannya muda lagi. Lagi dua tahun Adam akan berusia 34 tahun. Dua tahun tu lama Adam. Macam-macam perkara boleh berlaku. Adam nak tahu kenapa mama minta Adam settle sekarang?” Datin Zurina sebenarnya bimbang akan keselamatan Adam, maklumlah kerjaya sebagai juruterbang sentiasa berhadapan dengan bahaya. Pun begitu, kebimbangan seperti ini tidak akan terluah oleh seorang ibu kepada anaknya. Sekurang-kurangnya dia berharap, dalam tempoh dua tahun, Adam sudah pun mempunyai warisnya bagi menyambung warisan keluarganya. Lagipun sejarah hidupnya telah menceritakan bagaimana seseorang boleh berubah hati dalam tempoh seminggu, apatah lagi dua tahun!
“Mama, two years is not a long period. Sekejap aja mama. Lagipun kenapa perlu terburu-buru?” Adam masih mencuba memujuk mamanya walaupun kedengarannya amat mustahil lagi. Sekiranya Adeena sudah dirisik, bagaimana keputusan mama dapat dipinda lagi!
“Datuk dan nenek Adam sudah berusia. Mereka mahu Adam berkahwin segera. Lagi pun, sudah sampai masanya Adam berkeluarga. Mama tak mahu Adam menangguhkan lagi niat yang baik.”
Adam terdiam. Perasaan marah dan sesalnya berulang-ulang menyambar hatinya. Dia cuba beristighfar secara senyap dalam hatinya. Mana mungkin dia membiarkan kemarahan menguasai dirinya. Bukahkah dia sedang berhadapan dengan mamanya sendiri.
“Adam, mencari seorang kekasih takkan sama dengan seorang isteri. Mama tak fikir Intan sanggup berhenti kerja semata-mata untuk berkahwin dengan Adam. Dan Adam kena fikir tentang hal ini masak-masak.”
“Apa mama?” Jawapan Adam berbunyi lesu. Dia sudah kalah untuk berbahas dengan mamanya sendiri.
“Ibu Intan baru saja memberitahu yang Intan pergi temu duga kerja di Kulim. Kalau benar dia ada niat untuk berumahtangga, mama tak fikir yang dia akan cuba mendapatkan kerja baru yang lebih baik.” Datin Zurina segera memberi alasan kukuh dalam usaha memujuk Adam. Adam agak tersentak mendengar penjelasan mamanya. Dia juga tidak pernah diberitahu Intan yang dia akan pergi ke Kulim untuk sesi temu duga. Entah apa juga alasan Intan, dia rasa terpinggir oleh sikap Intan terhadapnya.
“Mama, kenapa kita tak boleh memberi peluang ini kepada Intan. Adam boleh bertanya Intan. Mana tahu dia sanggup berhenti kerja seperti yang mama harapkan. Mungkin Intan juga sanggup menjadi suri rumah tangga yang baik.”
“Pakar ekonomi dan eksekutif seperti Intan. Mama dengar dia pernah menerima Anugerah Dekan lagi. Mama tak fikir begitu.”
“Ma, kenapa mama mesti bermusuhan dengan Intan, apa salah dia? Salahkah kalau dia menamatkan ijazahnya dalam bidang Ekonomi? Salahkan dia kalau dia seorang eksekutif? Salahkah dia menerima Anugerah Dekan?” Adam masih cuma membela Intan. Dia wanita yang istimewa di hatinya, tidak akan mungkin dia mengalah begitu saja.
“What I need to do is to ask her, mama. ‘For love’, a person like Intan is ready to do whatever she needs to do. Trust me,” Adam terus menyusun ayat, masih terus mencuba meyakinkan mamanya tentang hubungan cintanya.
“Mama tak fikir begitu. Kalau benar Adam ini penting bagi hidup Intan, mama percaya dia tidak akan merahsiakan hubungan kalian dengan ibunya sendirikan? Mama sendiri pada awalnya tidak begitu yakin dengan pilihan mama. Bila mama tiba saja di rumah, mama diperkenalkan dengan Di. Pelik! Sebab menurut Adam, Intan yang izinkan mama ke rumah mereka. Mama diberitahu Intan ke Kulim untuk satu temu duga. Sekali lagi pelik! Pada mama ini adalah petanda, jodoh Adam dengan Di.” Datin Zurina menjelaskan peristiwa yang dirasakan perlu diberitahu semasa dia di rumah Deena tempoh hari.
“Tapi ma…” Adam cuba menyampuk bicara mamanya.
“Nanti dulu Adam, dengar dulu cerita mama. Lepas tu mama bagitahu tujuan mama ke sana untuk merisik, bila mama sebut sahaja untuk Di, ibunya langsung tidak membantah. Adam tahu apa maksudnya. Intan tidak pernah memberitahu ibunya tentang Adam. Pada mama, hubungan Adam dan Intan seolah tidak wujud, kalau tidak tentunya Intan tidak akan berahsia hubungannya dengan Adam.” Datin Zurina sungguh-sungguh mahu meyakinkan Adam bahawa realiti yang berlaku digerakkan oleh kuasa Allah.
“Intan tu perahsia orangnya. Kami merancang berkahwin dua tahun lagi. Sebab itulah dia merahsiakan hubungan kami daripada ibunya. Itu saja.” Adam masih membela Intan. Dia kenal benar akan sikap Intan. Merahsiakan sesuatu memang menjadi sifat semula jadinya. Dan Adam mulai menjadi faham mengapa Intan merahsiakan pemergiannya ke Kulim, mungkin sebahagian daripada sikap rahsianya juga.
“Adam, perempuan ni boleh merahsiakan apa pun, tetapi dia tak akan merahsiakan daripada ibunya jika dia mulai serius dengan seseorang. Apatah lagi Intan tinggal serumah dengan ibunya. Sekarang ni ibu mahu Adam berfikir masak-masak. Kalau Adam rasa tindakan mama hanya menyusahkan hidup Adam, Adam boleh batalkan semuanya. Sekiranya Adam rasa tidak kisah untuk memalukan mama dan papa, silakan.”
Ayat terakhir mamanya seolah membunuh segala bicara Adam. Tidak akan boleh dia mengatakan segala yang mama lakukan hanya menyusahkan hidupnya! Mana mungkin dia akan bertindak untuk memalukan mama, papa dan keluarganya. Kepada Adam, kehidupan berkeluarga adalah tunjang kebahagiannya sehingga ke hari ini.
Adam bagaikan tidak dapat bergerak, terhenyak di sofa empuk. Masa seakan terhenti. Bicara mamanya sebetulnya tidak boleh disangkal sama sekali. Segala yang dipertuturkan mamanya benar belaka. Kenapa Intan masih merahsiakan hubungan cintanya dengan ibunya? Kenapa dia merahsiakan juga pemergiannya ke Kulim? Kenapa meminta mama datang ke rumahnya semasa ketiadaannya? Pelbagai persoalan tidak akan dapat ditelah jawapannya. Segalanya nampak jelas dan nyata.
“Adam, mama percaya semuanya digerakkan oleh Allah. Kita ni manusia biasa, boleh merancang segalanya, yang akan mengizinkan untuk berlaku sesuatu hanya Allah semata. Percayalah, qadak dan qadar Allah ditentukan yang terbaik untuk kita. Intan menurut hati Adam adalah wanita terbaik bagi Adam. Allah Maha tahu sebaliknya, disebabkan itulah Allah menggerakkan hati mama untuk melamar Deena buat Adam.” Pujukan mama berlagu perlahan dan menyentuh jiwanya. Adam melepaskan nafas keluhannya perlahan-lahan. Terasa bagaikan tergamam dikerongkong. Dia terperangkap antara perasaan realitinya dan permintaan mamanya. Perasaannya yang menyayangi Intan dan perasaan terpaksa untuk menyayangi Deena pada masa hadapan.
“Perempuan seperti Deena bukanlah sukar untuk disayangi Adam. Adam pun sudah kenal dengannya. Mereka pula kembar, segala yang ada pada Intan tentunya ada pada Deena,” kata-kata Datin Zurina sekali lagi seolah menikam dalam ke lubuk hati Adam.
“Memang sama mama, tapi cinta Adam hanya berada dalam hati Intan, bukannya Di. Memang Adam menyukai Di pada awalnya, tapi sikapnya yang pendiam menjadikan hubungan kami seolah pudar. Berlainan dengan Intan…” Adam terus berbicara dengan hatinya sendiri. Payahnya untuk dia mengucapkan perkataan-perkataan itu. Dia bimbang akan melukai hati mamanya lagi.
“Tapi Adam tak kenal pun dengan Di, ma. Adam..”
“Adam akan ada seumur hidup untuk mengenali dia. Hari ini mama akan membuka satu rahsia yang sudah lama mama sembunyikan pada Adam. The moral of the story is, love can be created. Sebenarnya mama sepatutnya berkahwin dengan Pak Long Rizal, Adam belum pun bertemu dia. Dia masih di Perancis, tidak pulang-pulang sejak hari perkahwinan kami.”
“Kami, maksud mama?” Pelik dengan penjelasan mamanya.
“Mama sepatutnya berkahwin dengan Pak Long Rizal. Kami memang pasangan kekasih. Entah kenapa, seminggu sebelum hari perkahwinan, tiba-tiba sahaja dia menghilangkan diri. Mama begitu kecewa sekali, tapi keluarga papa bertindak bijak. Papa dan mama dikahwinkan bagi menutup malu keluarga. Tapi Adam boleh tengokkan, mama dan papa bahagia sampai hari ini. Kebahagiaan itu kita yang tetapkan Adam. Kita sebagai manusia boleh mencipta bahagia kalau kita mahu.”
“Pak Long Rizal…”
“Ahmad Rizal bin Muhammad Hafiz. Dua bulan selepas perkahwinan mama barulah mama menerima surat pertama Pak Long kamu. Katanya, dia takut sangat dengan komitmen. Banyak lagi yang cuba diburunya dalam hidup. Dia berada di Perancis.”
“Mama tak ada hubunginya lagi.” Cerita mama tadi seolah sudah berjaya membuatkan Adam lupa akan kisah pedihnya dengan Intan.
“Ada. Sekali saja. Mama ada juga membalas suratnya, tapi itulah saja surat terakhir Pak Long dan mama berhubung. Mama ingat sebab mama marahkan dia dalam surat tu. Ya lah, kalau pengantin lelaki sudah lari sebelum berkahwin, perempuan mana yang tidak akan marah.”
Adam terdiam. Kelu. Kaku. Memang benar kata-kata mama tadi. Cinta dan kebahagiaan boleh dicipta jika kita mahu. Berapa ramai daripada kita yang berkahwin dengan rasa cinta, tetapi berpisah akhirnya. Dan berapa ramai yang tidak mengenali pasangan ketika sebelum perkahwinan tetapi masih berupaya mengekalkan rasa bahagia.
“Esok mama akan bertemu Perancang Perkahwinan. Mama akan bawa Di dan ibunya sekali. Mama harap Adam akan ikut sekali.”
Adam hanya mengangguk lesu. Fikirannya menjadi kacau. Mama Adam meneruni anak tangga ke tingkat bawah, paras dua banglo di mana ruang tamu kedua berada. Terdengar suara mamanya, Mak Kasih dan Pak Busu berbicara, berselang dengan suara ketawa. Aduh! Bahagianya mereka. Adam terasa iri hati dengan mereka. Dia tahu, tidak ada jalan keluar lagi baginya. Dia dan Deena. Tamat. Itulah kata pemutus. Tentulah dia tidak akan sanggup melukakan hati mama dan keluarganya. Bermakna, ada hati yang dia akan lukai. Hatinya sendiri dan Intan. Dia akur jika terpaksa melukakan hatinya sendiri. Bagaimana dengan hati Intan?

No comments:

Post a Comment