Terima kasih daun keladi, silalah bertamu lagi.. Novel , akan datang: Disember 2010

Terima kasih daun keladi, silalah bertamu lagi..  Novel , akan datang: Disember 2010
Sudah terbit Feb 2011

Promo Cinta Sikunang-kunang

Lokasi cinta: Bukit Mertajam (seberang perai),Melaka, New York dan Toulouse (Perancis) Petikan hanya 1/2 bahagian sahaja.
Promo Pengenalan.
Promo Bab 1 Intan Irdina : aku adalah Irdina.(petikan 1-3) Ditamatkan di tempat /situasi yang sama.
Promo Bab 2 Kapten Adam Farqis: aku adalah Adam..Ditamatkan dengan tempat/situasi yang sama.
Promo Bab 3:aku adalah Intan Adeena. Ditamatkan dengan situasi/tempat yang sama..
Promo Bab 4:permulaan bab yang baru. Tiada gantinama 'aku' lagi... (bahagian 1 sahaja)
Promo Bab 5. Cerita mama... (bahagian 1 sahaja)
Promo Bab 6: bahagian 1 sahaja
Promo Bab 7: Bahagian 1 sahaja
Promo Bab 8: Bahagian 1 sahaja
Promo Bab 9: Bahagian 1 sahaja
Promo Bab 10: Bahagian 1 sahaja
Bab Ending.. Bab 10 : Bahagian 9 : akhir bab..
Pendapat pembaca: Lihat Reviews Pembaca.

Followers

Ruang Komentar.. Terima Kasih atas komen/soalan anda..

Saturday, January 29, 2011

Stok buku CSKK

Saya diberitahu oleh pihak penerbit yang CSKK akan tiba awal febuari. Jadi, saya akan mengambil stok apabila stok mulai tiba di KarnaDya. Kebiasaannya saya akan menjual sendiri.. (ada la sikit) di sekolah atau dari rumah. Kadangkala, ada juga yang suka 'personal touch' like tandatangan dan sedikit contengan di buku... Pada saya pun, seolah ada sedikit 'sentimental value' dan 'sentuhan peribadi' yang menjadikan buku itu lebih 'bernilai;...

Bila masanya tiba di kedai.. well. hal ini amat bergantung dengan kiriman dan pesanan daripada kedai buku. Maybe akan mengambil masa 2-6 minggu, bergantung kepada situasi dan proses kiriman.

Saya sendiri! Resah juga! Macam tak percaya, saya sudah ada dua buah buku! Mungkin sudah akan terlewat memulakan penulisan memandangkan saya mulai berkarya dan tersiar di majalah semasa berusia 16 tahun lagi... jauh jurang masanya, entah apa yang saya lakukan dalam tempoh 'jurang besar masa itu'.. terlena yang panjang atau istilahnya 'koma' sepanjang masa! Apapun kedaaannya, better late than never.. betulkan?

Tuesday, January 25, 2011

Rahsia dalam CSKK

1. Rahsia Intan.. sukakan sesuatu yang hijau.

“Kak, nak minum? Olis buatkan kak teh ya,” Olis yang sejak tadi hanya duduk di pangkin, datang menghampiri Intan yang sedang duduk di banir pokok langsat.

“Hmm. Boleh juga.” Intan memulangkan senyuman manis. Agaknya, angannya dibawa angin lalu ke telinga Olis.

Olis kelihatan memanggil dia ke pangkin tadi. Dilihatnya semug teh hijau telah siap disediakan.

“Pandainya mentelah, apa kesukaan kak, baru saja berkhayal dalam hati.” Intan tersenyum riang melihat ‘pucuk yang dicita, ulam yang mendatang’. Bukan sahaja disajikan dengan secangkir teh hijau kesukaannya malah sepinggan, biskut gula juga disediakan.

“Olis kan memang pandai membaca hati kak. Apa kak suka pun Olis tahu.”

“Iya, contohnya…?”

“Kalau makanan, kak suka semua jenis yang hijau-hijau belaka. Contohnya teh hijau, minuman klorofil, aaa…rumpai hijau alga, peria.. apa lagi..epal hijau. Kak makan juga spirulina. Cuma satu aje yang kak tak akan suka.”

“Hijau, tak suka? Mana ada. Rumput tu yang ada dalam klorofil, ulam, semuanya kak suka. Tolak ular yang warna hijau la, memang tak boleh makan. Belalang hijau, gelilah pulak nak makan.”

“Ada lagi, katak hijau. Katak pisang nama komersialnya.” Intan ketawa geli hati mendengar kata-kata Olis.

“Ada pulak nak suruh makan katak hijau.” Kedua-dua mereka terkekek-kekek ketawa bersama.

“Tapi ada juga yang namanya pisang tapi bahaya.” Intan segera menyapa Olis lagi.

“Manalah ada kak. Jangan Kak Intan nak pekena Olis lagi. Yang Olis tahu, ada satu aje pisang yang beracun, pisang hutan. Pisang tu monyet pun tak akan makan, macam tahu aje, buah tu ada racun.”

“Ada. Pisang ni bukannya sejenis buah. Sejenis labah-labah yang dinamakan labah-labah pisang tapi berbahaya.” Intan menerangkan kepada Olis yang nampaknya tidak berkedip mendengarnya.

“Bahaya macam mana?” Olis bertanya balik, kehairanan.

“Dengan sedikit saja racunnya, setitik kecil saja, sebesar saiz semut, boleh membunuh tikus. Bisanya mengandungi racun neurotoxic yang boleh membunuh manusia sekali pun.” Seram sejuk tubuh Olis mendengar penjelasan Intan. Nampaknya Intan ini serba berpengetahuan, ilmu lain, dia hero. Cuma satu sahaja kurangnya, tiada langsung ilmu memasak. Zero.


sambungan....


2.Berbulan madu di Toulouse, Perancis, bukupkan membaja cinta?

Deena bangun menyambut suasana pagi di Toulouse dengan senyuman yang terukir di wajahnya. Benarlah kata orang, berbulan madu bermakna permulaan cinta antara suami dan isteri. Barangkali kota romantis ini menjadi saksi bermulanya era cinta antara mereka berdua. Deena segera mengenakan jeans biru berjenama Levi’s ke tubuhnya. Mengenakan baju blaus tebal bertulis, Love dan menyarungkan jaket kulit berwarna coklat gelap pilihan mama ketika membeli belah di KLCC pada minggu lepas. Sebaik sahaja, Adam menyatakan berita baik yang mereka akan berkunjung ke ibu kota ini, mama segera membawa Di untuk membeli belah, apatah lagi di bulan November ini, musim sejuk mulai menjengah kota Toulouse seperti mana negara-negara Eropah yang lainnya.

Adam berjalan beriringan mama dan Di berjalan kaki di sekeliling Capitolium.

“Capitolium ini adalah pusat bandar bagi Toulouse. Ini bangunan City Hall yang pada asalnya dibina pada abad ke 12. Perhiasan dan dalaman pula dibina oleh arkitek Guillaume Cammas pada abad ke 16. Dalamnya ada pusat teater dan Town Hall.” Adam seolah sudah menghafal kebanyakan sejarah bangunan di sini. Bangunan yang berwarna rona coklat dan krim segera ditenung lama. Memori pandangan mata segera dicerakinkan dalam kamera digital dan video bersaiz mini yang sering dibawa Adam. Dataran luas di tengah Bangunan Perbandaran ini disebut sebagai Dataran Capitole.

“Ini pula gereja yang dikatakan paling lama di sini. Dinamakan sebagai Saint-Sernin Basilia. atau nama mengikut Perancis, The Basilique St-Senin. Dibina pada tahun 1215,cuba juga dimusnahkan oleh Napoleon Bornaparte dengan menggunakan 300 kuda yang cuba menarik dan memusnahkan siling bangunan tapi tak berjaya.” Sekali lagi penjelasan Adam membuatkan Di hanya terpaku selain beraksi mesra bagi mengabadikan pelbagai foto dengan kamera video mereka. Bangunan dengan menara setinggi 65 meter ini menjadi saksi perjalanan agama Katolik yang menjadi agama utama di sini.

“Di nampak di sini banyak beranda yang cantik. Semua tu trend di sini?” Di membuka ruang soalan kepada Adam.

Adam segera berpaling dan mengangguk dan segera menyambung, Bukan itu sahaja, serambi atau balkoni atau disebut balcon dalam Bahasa Perancis, menjadi mercu tanda taraf sosial masyarakat. Jika berandanya hebat, jelaslah tuan punyanya kaya, sederhana atau miskin.” Adam fokus memberitahu Di. Di hanya tertawa kecil, membayangkan hanya balkoni kecil sahaja di rumah ibunya yang juga menyatakan mereka terdiri daripada keluarga berstatus miskin. Ternyata bandar ini merupakan bandar yang amat mesra pelancongan. Papan tanda tunjuk arah ke arah bangunan atau tenpat menjadi petunjuk mesra yang memudahkan tetamu bandar ini bertamu. Tidak jauh daripada Capitalium, mereka berhadapan lagi dengan satu bangunan senibina klasik. Bangunan gereja Saint Pierre Square. Berjalan ke hadapan lagi, hanya beberapa blok dan anda akan bertemu dengan Bemberg Foundation yang mendapat jolokan nama Muzium Hotel d’Assezat. Muzium ini merupakan seumpama saiz istana yang dibina oleh jurutera bernama Nicolas Bachelier, bermula tahun 1555 dan belum sepenuhnya siap dibina semasa kematian beliau pada tahun 1581.

“Muzium ini penuh dengan hasil seni ukiran, perabot, manuskrip dan catatan masa lampau dan lukisan Roman dan Gothik. Sememangnya orang Rom dan Gothik pada zaman kemahsyuran mereka amat gemarkan seni ini. Bangunan ini dibina kira-kira 500-600 tahun lampau. Sama seperti bangunan lainnya, klasik, antik dan berseni.”

Kini hasilan karya agung seperti Neri di Bicci, Lorenzo Monaco, Pietro Perugino, Bernardo Strozzi, dan Maurice Denis dipamerkan di sini.

“Mama pernah ke Rome dan banyak negara Eropah. Memang inilah trend dan masyarakat di sana. Membuktikan zaman kebangkitan Renaissance, yang bermula di Itali dan merebaknya pengaruh seni ukiran dan lukisan,” sambil membetulkan tudung sutera hijau di kepalanya, Datin Zurina menerangkan kepada menantu. Kadangkala dia terasa lucu juga melihat sikap pendiam Di. Memang jelas, menantu perempuannya ini tidak berkata banyak. Hampir setiap masa hanya mengangguk, tersenyum dan kerapnya, matanya seolah terpaku pada sesuatu pemandangan yang mengasyikkan.

“Orang Barat berbeza daripada masyarakat kita. Kebangkitan kelilmuan mereka buktikan dengan lukisan dan ukiran yang menakjubkan dan elegan. Seni memang jelas satu kebangkitan ilmu kepada mereka selepas kejatuhan Rom dan Zaman Gelap.” Datin Zurina ternyata menghabiskan percutian ini dengan keseronokan berganda. Sama gembira seperti masa percutian ke Eropah beberapa minggu lepas, percutian ke Toulouse ini amat melapangkan hatinya. Menyaksikan pasangan anak-menantunya yang ternyata lebih mesra. Sesekali dia terpandangkan jemari Di yang segera memegang erat tangan Adam.


3.Memanjat gung Kinabalu dengan terperinci.....


Dari Timpohon ke, sampai Pokok Paka dan kemudiannya ke Laban Rata dan kemudiannya ke
Gunting Lagadan Hut. Dan maju lagi ke puncak Kinabalu. Mengintai matahari yang malu-malu di Low’s Peak Gunung Kinabalu... mengintai papan tanda yang bertulis :

papan tanda yang bertulis ‘Id Kahandaban Gunting bin Lagadan,Ucuan Mana-Nanud Id Nuluhan Kinabalu 188-1966’ dan ‘Taman Kinabalu Low’s Peak (4095:2M)’.

4.Keindahan di New York.

5.Meneroka keindahan Melaka.

6.Meneroka budaya dan makanan Portugis dan Nyonya Baba di Melaka.

7.Rahsia kembar seiras.

8.Rahsia semasa 'koma'...apa yang sebenarnya terjadi.

9.Rahsia alam di Bukit Mertajam.

10.Rahsia cinta.. sukarkah sekadar memendam di jiwa.

11.Kemajuan dan rahsia dalam bidang Pertanian. Pertanian adalah perdagangan.

12. Rahsia perpaduan dalam menjadi rakyat Malaysia.

13.Kelip-kelip menjadi penghitung kepada permasaalahan.



Monday, January 24, 2011

Rahsia dalam CSKK

Rahsia orang Itali: Petikan daripada novel...



“Olis dan Intan tahu tak, ada tradisi sambutan yang agak kelakar bagi orang Itali untuk menyambut tahun baru.” Adi membuka ayat pertama ketika mereka sama-sama berada di Times Square bersama ribuan orang ramai menunggu detik 7 malam, sempena menyambut Tahun Baru yang akan menjelang.

Funny? Never heard before.” Intan segera menjawab sambil membetulkan ikatan mafela di lehernya.

Italian, biasanya akan memakai seluar dalam merah sebagai tanda memancing tuah pada tahun yang akan datang. Sama seperti tradisi orang Cina yang memakai baju berwarna merah semasa perayaan Tahun Baru Cina.” Senyuman Adi menandakan kebenaran ceritanya. Intan hanya tersenyum balas, dengan pandangan yang malu-malu. Mendengar perkataan celana dalam yang biasanya disebut ’CD’ oleh Intan menjadikan dia tersenyum sendiri. Sekiranya cerita yang lebih berbentuk peribadi biasanya menandakan jarak halangan atau tembok komunikasi lebih hampir antara komunikator dan pendengarnya.

“Jadi abang Adi pakai underwear merah sekarang ni?” Soalan Olis agak mengejutkan Intan. Segera Intan mencubit halus lengan Olis yang dibalut dengan jaket tebal.

“Depends, only if I wish lots of luck for me next year. Actually, better if the underwear is a present.” Adi menyambung ketawanya.

“Abang tak cakap awal-awal. Tentu Olis boleh hadiahkan abang satu.” Olis terus menyambung ketawanya juga. Cerita Abang Adi memang kedengarannya lucu. Intan hanya tersenyum tersipu, malu-malu. Terasa lucu sangat, tetapi terasa malu untuk ketawa berdekah-dekah. Intan pasti, jika jenaka ini dibawa ke pejabatnya nanti, pasti riuh rendah ketawa daripada teman-teman pejabatnya.

“Nak tahu apa yang lucu lagi tentang orang Itali ni?”

“Ada lagi bang?”

“Kalau rasa stres, eloklah peluk pokok, terutamanya perempuan yang mengandung sebab orang Itali percaya dengan memeluk pokok, stres akan hilang,” Adi masih lagi menyambung senyumannya.

“Peluk pokok. Baiklah peluk orang.” Balas Olis dengan selamba.

“Pokok di Itali bolehlah sebab pokok renek je. Kalau di Malaysia, pokok kelapa, macam mana pulak. Kalau nasib tak baik, jatuh pula buah kelapa atas kepala.” Intan membalas pernyataan Adi. Dia segera teringatkan artikel berkaitan jenis pokok di Itali yang pernah dibacanya. Pokok-pokok di Itali biasanya pokok retek yang tidak tinggi ukuran ketinggiannya. Kebiasaannya negara yang mengalami empat musim tidak mempunyai pokok yang sama seperti negara yang mengalami iklim khatulistiwa.

“Bolehlah nanti, kalau stres Olis, peluklah pokok manggis atau pokok rambutan. Kalau nasib baik, dapat pula gigitan semut merah secara percuma.” Intan sekadar menambah perisa kepada lawak lelecun mereka sebelum ini.

Ketawa mereka berderai bersama. Segera Olis teringat akan satu insiden yang menggelikan hatinya. Berlaku di bulan pertama mereka berkahwin, Adi dan Yasmin....








Memori di NY seolah menjadikan Intan bermimpi di siang hari:

Petikan daripada novel:

Bunyinya guruh dan petir yang sabung menyabung menjadi seolah gegendang yang dipalu. Hujan mulai mencurah jatuh, memecah bunyian deruan titik-titik hujan yang mulai mencecah syiling. Kedinginan mulai menggigit setiap rongga tulang temulang. Intan berbaring malas di atas katil besinya sambil melihat kembali gambar-gambar kenangan mereka di New York dahulu. Sekeping gambar di Times Square benar-benar mengembalikan ingatannya kepada memori hangat mereka. Mafela merah cili yang dipakai Intan rupanya menjadi pembuka perbualan mereka. Pada awalnya Intan dan Olis agak kehairanan melihat Adi yang tertawa melihat mafela merah yang dipakai Intan.

Mafela yang pernah menjadi meneman manja ke New York sengaja diletakkan di atas bantal, sambil merenung mafela ‘cili merah’, dia segera terkenang manisnya memori di sana. Lagu Madonna, I Love New York dan liriknya berbunyi, I don’t like cities, but I love New York seakan bernyanyi di hujung telinganya berulang kali. Entahlah, tentu ada sesuatu tentang New York yang menjadikan Intan tiba-tiba begitu emosi. Merah mengingatkan dia tentang dialog lucu mereka di sana. Sesudah enam purnama berlalu, entahlah, setiap tutur patah bicaranya bersama Adi seolah menemaninya ketika cuba memejamkan matanya.








Petikan di New York:

Mereka segera menuruni subway apabila subway berhenti di Terminal Station, Grand Central,New York. Grand Central Terminal yang kadangkala digelar juga sebagai Grand Central Satation atau hanya Grand Central, merupakan stesyen terminal yang terletak di 42nd Street dan Park Avenue, di tengah-tengah Manhattan di New York. Walaupun terminal ini sepatutnya dikenali sebagai Grand Central Terminal sejak tahun 1913 ,terminal ini kebiasaannya dirujuk kepada nama panggilan sebagai Grand Centre Station yang merujuk kepada sebuah pejabat pos di sini. Ada juga yang menggelarkan terminal ini sebagai New York City Subway Station.

New York City Subway pula dikenali sebagai MTA iaitu Metropolitan Transportation Authority atau digelar juga sebagai MTA New York City Transit. Sistem subway yang digunakan ini merupakan salah satu sistem pengangkutan yang paling tua yang terdapat di dunia. MTA merangkumi 468 stesyen persinggahan, 229 batu atau merangkumi 369 km perjalanannya.

Bangunan Grand Centre Station yang berwarna seakan warna keemasan ini benar-benar memukau pandangan mata. Ketinggiannya yang hampir meliputi dua tingkat bangunan seolah memaksa anda mengintai indahnya kilauannya sehingga ke hujung angkasa sana. Benarlah kata orang, ’New York ini merupakan bandar untuk semua jenis orang’. Populasi di sini meliputi orang Inggeris, Yahudi, Asia, Latin dan orang asli Amerika. Bendera Amerika menjadi seolah satu mercu tanda kemegahan Amerika Syarikat berkibar megah di tengah ruang terminal ini. Jam berbentuk separuh bulat dan bernombor seolah menjadi saksi kepada ribuan jumlah manusia yang keluar dan masuk menggunakan terminal ini. Intan hanya sempat membalas senyuman Olis yang leka mengabadikan momentum mereka dalam setiap kepingan imej yang dirakam dalam kameranya.

Intan hanya sesekali memandang Adi dengan leka. Benarlah seperti yang dikatakan Olis semasa di pesawat, Adi tidak banyak bercakap. Perbualannya sekadar yang perlu sahaja. Tarikan pemuda Intali ini adalah kepada pandangan sepasang mata kelabunya yang bersinar, seolah menikam dalam terus ke rongga jantung Intan. Intan menyedari tugasnya untuk memulakan perbualan berkaitan dengan misi sebenarnya ke bandaraya yang penuh dengan keasyikan ini. Dia tidak pasti bilakah ketikanya dia boleh memulakan langkahnya berbicara tentang kehadiran Adi yang diperlukan dalam kehidupan Maya.

Mereka bertiga berjalan beriringan menuju ke sebuah Restauran Itali seperti yang dicadangkan oleh Adi. Nanni’s Restaurant adalah sebuah restauran ala Itali yang berada hanya beberapa blok daripada Grand Central. Penerangan Adi mengenai New York agak mengasyikkan. Siapa akan menyangka, New York yang terdiri daripada lima wilayah iaitu The Bronx, Brooklyn, Manhattan, Queens dan Pulau Staten merupakan sebuah Kota terbesar dan antara yang terpenting dari segi ekonominya. Penduduknya melebihi sembilan juta dan dikatakan dihuni oleh imigran daripada 180 buah negara luar. Tidak menghairankan jika New York mendapat julukan nama ‘The Big Apple’ atau ‘Kota yang Tidak pernah tidur’ dan juga ‘Kota impian’. Kota New York juga dikatakan menjadi kota kembar kepada beberapa bandaraya dunia seperti Amsterdam, Beijing, Rome, Toronto dan Tokyo.

Mereka segera mengambil tempat duduk di Restauran Nanni. Buku menu yang dibaluti dengan kulit berwarna kelabu segera mereka buka.

“Nanni’s ni bagaikan restauran nenek sendiri kepada orang-orang Itali di sini. Sudah lama dibuka, lebih kurang 40 tahun lalu. Boleh cuba salmonnya,pasta atau hidangan nasinya, sedap.Tapi macam biasalah, perlu pilih hidangan makanan laut sahaja.” Adi bercerita tanpa ditanya.










Sambutan Bola emas sempena Tahun baru di NEw York: petikan daripada novel:

Kompilasi warna-warna itu membawa khayalan memori balik ke minda ingatan Intan kepada suasana sambutan Tahun baru di New York. Bola gergasi dengan cahaya neon berwarna yang sama dijatuhkan dari atas Bangunan Times Square tepat pada jam 12 malam sebagai detik yang menandakan kemuncak sambutan Tahun Baru. Bola keemasan yang bagaikan menyuarakan jutaan suara yang mengimpikan impian, cabaran, perubahan dan fantasi yang mereka harapkan akan berlaku. Kedudukan mereka yang berada berdekatan dengan kawasan Bownie yang berada di antara Broadway dan Jalan Seventh Avenue membolehkan mereka berada betul-betul di depan skrin yang memaparkan bola ‘emas’ tahun baru.






The BIg Apple menjadi pilihan saya.. Mungkin kerana terlalu kerap menyinggah ke 'new york' di dalam filem (saya suka menonton) saya pun terjangkit tentang cerita NY di dalam novel saya. Menabjubkan sebenarnya apabila mengetahui rahsia NY yang dihuni pelbagai bangsa dari seluruh dunia!




Pelamin indah ini menjadi pilihan saya menamatkan bab terakhir dalam drama beberapa babak saya, Cinta Sikunang-kunang... Intan Irdina akan disandingkan bersama ...., sikunang yang ditemui dalam 'babak' gelap, ketika Inta ke bilik Olis. Anehkan apabila serangga sekecil ini dapat menyelesaikan permasalahan yang 'merekah' dalam fikiran Intan, menambah kebuntuhan yang tidak pernah tamat sebelum ini!

Sunday, January 23, 2011

Buku percuma, mana ada beb!

Ketika makan di kantin sekolah tadi, saya pun berkata kepada kak senior 'kamcing' saya...

"kak, kali ni nak interview kak ya pasal orang Minang."
Dia ketawa saja. Katanya membalas, "Dah tiga empat kali dah dek ooii, tak jadi juga." Dan saya ketawa. Sebenarnya buku kedua dulu saya mahu masukkan elemen 'Minang' ni, tapi entahlah, masa tu pertengahan-hujung tahun, banyak kerja..malas nak kacau dia, jadi saya lupakan elemen itu... buku ketiga, entah ke arah lain pula... he he he.. biasalah.. Kitakan manusia, hanya merancang sahaja. Allah juga yang bisa menentukan.

Kata senior sorang lagi, "Dah ke 4 dah?"
Saya hanya tergelak.. dan membalas..." Kak memang la ke 4, kan dah berapa tahun dah." Saya mula menulis tahun 2008, buku saya keluar penghujung tahun 2009. (Kira macam 2010 lah) dan tahun ini 2011, buku kedua. Sambil-sambil menunggu buku kedua, saya siapkan buku ketiga. Sambil menunggu buku ketiga pula, saya teruskanlah dengan buku ke empat.

Saya menerangkan kepada mereka, proses menerbitkan buku mengambil masa yang lama. Kalau baru menulis, manuskrip barangkali tersadai hampir 4-5 bulan sebelum penerbit menjawab sama ada mereka berminat dengan manuskrip anda atau tidak. Lepas tu, penerbit akan meminta anda edit beberapa bahagian yang mungkin tidak bersesuaian dengan mereka. Kemudian, mereka akan edit lagi... anda akan membaca dan bersetuju atau tidak dengan final editing. Lepas tu penerbit akan membuat 'filem' untuk cetakan. Lebih kurang setahun jugalah prosesnya sebelum dapat melihat buku anda di pasaran. Prosesnya bukannya mudah dan senang.. dan tidak senang hati sebenarnya apabila ada teman-teman yang sengaja mahu dapatkan 'buku free' memanjang. Karya kita bukan semudah menyebut a, b, c... kalau duduk-duduk saja, buku tak akan siap. Entah berapa jam kita perlu mengadap komputer, baca buku, baca artikel, baca web... Sakit belakang, sakit kepala, sakit jari jemari, sakit mata, telinga dan sakit macam2 lagi!

Buku ke 4 ini, officially saya akan merekodkan berapa lama masa saya ambil di hadapan komputer, potong artikel, fikir, conteng sana-sini, supaya kawan2 yang baru 'dok' fikir nak minta percuma, silalah fikir tentang penat lelah penulis ni! he he he.. (saya tak ketawa sebenarnya, tetapi senyum pahit.) Lainlah kalau saya sendiri, mahu memberi demi nilai persahabatan dan terima kasih kerana bantuan dalam menyiapkan buku saya, seperti ramai juga yang membantu dalam menyiapkan buku kedua saya.. dan ketiga saya...

Situasi ini bagaikan orang yang membuat nasi lemak atau kuih jualan, senang-senang saja kita minta dengan percuma, alahai beb! Seandainya mahu percuma silalah tulis buku anda sendiri, kemudian beri saya percuma.. (baru anda tahu bagaimana menilai situasi ini) Atau kita buat sistem butter... saya beri buku saya, anda beri buku anda! Adilkan!

Dan tidak menjurus kepada kawan2 saya, sebab kawan saya tak ada yang minta secara percuma... beli dengan 'jiwa raga'.. he he...

Pendek kata, dalam dunia ni, yang percuma cuma nyawa kita, sebab Allah tidak minta dibayar! dan udara yang disedut.. air, elektrik semuanya perlu dibayar... Jadi kalau mahu 'percuma' juga, mana ada beb!! Semuanya harga keringat dan air mata...

Monday, January 17, 2011

Dedikasi Novel ini



Dedikasi novel ini untuk;

Anda : pembaca novel ini : ……………………………………………………………………………………

Tidak dilupakan: Keluarga & Teman-teman & pelajar yang mengenali dan menerima saya seadanya…di alam nyata dan di halaman sesawang alam maya.

Para pendidik & Dr & Staff perubatan & pesakit yang sentiasa berperang dengan ‘kanser’.

Pasangan kembar yang menjadi inspirasi…

Tanpa Anda, apakah ertinya Cinta …

Seulas Pinang,Sekapur Sireh…Terima kasih atas kerjasama anda semua:
Informasi Perubatan: Dr Zuki Othman, Dr Intan Andura Tan Sri Ismail Omar.
Informasi lain: Mak Ngah :Salebiah Ibrahim, Noor Azira, Mama: Salma, Amy & Farahnaz Aminy.
Informasi mengenai Italian Man : Sharizan Sulaiman/Mrs Adam Mirco@ Rome.
Puisi kredit untuk: Norzaira/Noor Azira.
Kekasih hati saya : Fuad & Olis/Haslina :Yang sedia bersama ke mana sahaja.


Al-Fatehah: Mereka yang dikasihi & meninggal dunia akibat kanser.
Guru saya : Puan Salmeah Hj.Siru, Pak Ngah saya:Ismail Shaari , Ayahanda Mertua saya:Abdul Malek Muhd.Dom , Rakan FB saya, Dalilah Tamrin yang kembali KepadaNya pada 19 Julai 2010.

Bonda mertua yang dikasihi:Hajah Fatimah Omar yang meninggal dunia di saat saya hampir menamatkan buku ini.

Pertutti che si amano : untuk semua yang sentiasa bercinta.

Puisi Cinta, Nor Azira

Kredit saya untuk Nor Azira yang sedia memberi saya puisi untuk novel saya ini. Saya sukakan puisi ini ketika kali pertama membacanya.. sesuai sekali dengan puisi seseorang yang bakal 'dijemput Ilahi oulang' meninggalkan orang yang dia cintai.
Seorang isteri yang mengidapi barah dan menulis puisi di bahagian draff, dan meninggalkan pesanan supaya puisi ini 'dihantar' ke blognya...

************

Aku mencari cinta di pelusuk dunia
Di kaki gunung jatuh terhumban
Di laut luas ombak bergulungan
Di langit biru petir bersahutan...

Aku mencari cinta di pelusuk dunia
Berjalan sudah berlari pun sudah
Dari utara hingga ke selatan
Sakitnya tak terhingga tertusuk ke hati..
Aku mencari cinta di pelusuk dunia
Di padang pasir terhentilah aku
Walau mentari pernah membahang
Tapi sentiasa memberi tenang....
Lalu kekallah aku disitu.. di hati Adam.

Petikan bab 10, bahagian 1

BAB 10: RESOLUSI CINTA
1
Intan pasti Dzar pasti akan bertindak tidak keruan mengetahui Adi datang bertandang ke Machang Bubok dua minggu ini. Berita Adi ke Johor Bharu dan menemani Intan ke Kuala Lumpur pastinya menjadi berita paling hangat di Machang Bubok, sumbernya tentulah daripada Olis sendiri. Barangkali semuanya bermula daripada soalan yang remeh temeh seperti kemana Intan?atau siapa yang beriya mendukung Maya yang barangkali kerap juga ditemui Dzar ketika menghantar bekalan makanan mentah ke dapur mak ngah.
Sejak seminggu pulang dari Kuala Lumpur, ternyata Dzar berperangai pelik. Asyik-asyik menelefon Intan pada siang dan malamnya. Setiap sejam dia mula bersms pula jika panggilannya tidak berjawab. Intan sudah mulai resah dengan situasi seperti ini. Dia pasti akan memberi Dzar jawapan supaya dia tidak berperangai pelik seperti ini. Berbeza dengan Adi yang bgitu tenang dalam mengendalikan situasi kalut seperti ini. Sejak peristiwa di Johor Bharu, tidak pernah sesekali pun Adi bertanya lagi tentang soalan yang memerlukan jawapannya. Dia pasti Intan pasti terhimpit dengan situasi yang hiba. Adiknya Di dilanda penyakit barah yang mungkin hanya mempunyai sedikit masa sahaja lagi untuk menikmati kehidupannya.
Intan segera menghubungi Dzar, menyatakan hasratnya untuk bertemu Dzar lagi malam ini. Sms yang dikirimkannya segera mendapat balasan. Dzar setuju untuk bertemu. Intan sedar dia berhadapan dengan situasi yang kalut. Dia mahu menamatkan suasana yang penuh keterasingan ini. Dzar harus diberi penamatnya. Walau pun Adi tidak bermalam di rumah mak ngah, dia pasti di sini semalaman sehingga Maya ketiduran untuk pulang semula ke Kulim Inn, Rumah Tumpangannya sementara berada di Malaysia ini. Intan seperti cacing kepanasan. Mengintai di ruang tamu melihat Maya sedang berlarian dengan Adi menjadikan hatinya terasa gundah. Tidakkah nanti Adi akan merasa cemburu melihat dia keluar dengan Dzar nanti? Bunyi kereta yang mendarat di halaman rumah menandakan Dzar sudah tiba di halaman rumah mak ngah. Ford Escape dintai Intan. Dzar yang mengenakan baju kemeja Dunhill berwarna biru muda berjalur halus, turun daripada keretanya, menuju ke rumah dengan perasaan bangga seolah telah memenangi sebuah tropi. Apa tidaknya, dapat persaingan mendapatkan hati Intan, Intan telah membuat pilihan secara terang-terangan, dia memilih untuk keluar bersamaku di hadapan Adi, bukankah itu tandanya sebuah kemenangan!
Mak ngah segera menoleh ketika disapa Dzar.
“Mak ngah, saya bawa Intan keluar ya.” Sapaanya berbunyi mesra di luar, berbaur bangga di dalam hati.
Intan keluar tanpa menoleh kepada Adi. Rasa bersalahnya turut menyalah di dalam hatinya. Adi nampaknya bertindak bersahaja, masih leka berkejaran dengan Maya dan langsung tidak menoleh memandang Intan yang keluar bersama Dzar. Intan yang duduk di kerusi hadapan tersenyum sendiri. Agaknya lelaki Itali ini bertindak ‘cool’, seolah tidak mencemburui aku yang keluar dengan lelaki lain di hadapannya. Baru seminggu dia berniat menghubungkan kasih kami, tapi nampaknya sikap ‘cemburunya’ langsung tidak ditunjukkan? Benarkah perasaan dia kepadaku? Intan berteka-teki sendiri.
Intan duduk menyepikan dirinya. Dalam hatinya hanya terkenangkan Adeena. Baru tiga hari sudah dia mendengar khabar yang tidak membahagiakan dia. Padanlah ketika dia singgah dulu ke rumah Adam, seisi rumah kelihatan tidak ceria sehingga meninggalkan curiga di hati Intan. Mana mungkin, mendapat kehadiran orang baru di rumah yang gah dan serba indah, dan seisi keluarga bermuram durja. Rupanya inilah jawapan realitinya. Keresahan yang sebelum ini ditanggung Intan, rupanya inilah punca persoalannya.
“Intan..” Berkali Dzar memanggil nama Intan, rupanya dia masih dia berada di alamnya sendiri.
Lengan Intan disentuh perlahan. Intan terasa bahang panas di lengan bajunya. Dia segera menoleh memandang ke mata Dzar yang leka memandangnya.
“Kenapa dengan Intan ni? Semacam saja” Rasa cemburunya mulai tumbuh dalam hati jantan Dzar. Masakan Intan boleh keluar bersamanya, sedangkan hati Intan berada di rumah, bersama lelaki Itali itu di rumahnya. Nyalaan api cemburu yang hanya asalnya bersumbu seolah menjadi nyalaan yang menyala besar dan terus terbakar.
“Hari itu ada Intan berjanji akan berfikir pasal kita kan?” Dada Dzar terasa berombak kencang. Adakah ini ketikanya Intan mahu melepaskan aku pergi atau menerimaku sebagai teman hidupnya. Dzar hanya menunggu Intan menyambung ayatnya. “Dzar kata nak tunggu Intan kan, berapa lama pun. Sekarang ni, Intan mahu jelaskan, tak perlulah Dzar menunggu Intan lagi. Sekiranya Dzar bertemu wanita lain yang mengisi hati Dzar, teruskanlah.”
“Intan. Kenapa ni? Intan sudah bertemu teman hidup Intan.” Segera Dzar terkenangkan menantu mak ngah di rumah. Lelaki asing inikah yang menjadi pesaingku.
“Bukan macam tu Dzar. Adik Intan, Di, mengidap barah, peringkat empat. Jadi Intan tak fikir ada masa untuk berfikir mengenai teman hidup sekarang. Not for now. Tak tahu berapa lama keadaan akan begini… Mungkin akan ambil masa yang lama…” Sedu-sedan Intan yang mengiringi perkataan itu mengejutkan Dzar. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan lagi. Segera dia mengambil saputangannya daripada poketnya dan dihulurkan kepada Intan. Belum pernah dia melihat Intan sesedih ini. Dan dia kehilangan perkataan lagi untuk berkata. Cuma agak melegakan apabila mengetahui punca Intan berkata demikian adalah Adeena, adik Intan.
“I’m sorry Intan. Kalau Intan rasa mahu ke Kuala Lumpur, saya boleh temankan Intan.”
“Terima kasih Dzar. Intan akan selesaikan hal ini sendiri. Cuma Intan minta…” Intan menarik nafasnya sejenak dan melepaskannya perlahan. “ Janganlah Dzar mendesak Intan…”
“Desak, maksud Intan…” Dzar menjadi keliru dengan perkataan itu. Seingatnya, dia tidak pernah mendesak Intan atau terburu-buru dalam merapatkan hubungan antara mereka.
“Dzar telefon. Sms dengan kerap. Hal ini mengganggu Intan. Sebelum inikan Dzar seorang yang memahami… Sekarang ni, Dzar bertukar menjadi orang yang merimaskan Intan. Lemas.” Intan melepaskan segala yang terbuku di dadanya.
“Minta maaflah Intan. Saya berjanji akan menjadi diri saya semula. Bayangan wajah Adi terbayang antara bebola mata Dzar. Mungkin sedikit sebanyak, perjalanan bersama dari Johor Bharu ke Kuala Lumpur mempengaruhi minda dan emosi Intan. Mungkinkah pertemuan di New York dulu telah berjaya menawan hati Intan yang satu itu. Mungkin Maya menjadi pengikat kasih Intan dan Adi? Semuanya berlegar dalam minda Dzar. Benarkan Intan?
“Dzar adalah antara teman terbaik yang Intan miliki. Tenang, bermotivasi, bersemangat juang yang tinggi.” Dzat tenang mendengar ucapan Intan. Disangkanya Intan akan menamatkan ayat itu dengan perkataan tapi, Intan telah… Intan menyambung ayatnya dengan sedu sedan yang masih belum reda, “Sekarang ni hanya Deena dalam minda Intan. Kami bersama sejak kecil Dzar, membayangkan yang Intan akan kehilangan dia, membunuh segala emosi Intan…”
“Bersabarlah Intan. Allah sentiasa menguji kita dengan perkara-perkara yang tidak kita ketahui bagi menguji keimanan kita.”
“Intan tahu. Tapi tak berdaya membendung rasa kesedihan ini. Kami rapat sejak kecil. Kami pernah bermusuhan Dzar. Di berkahwin dengan Adam, teman lelaki Intan…Sejak itu, kami putus hubungan. Bodoh bukan … kerana seorang lelaki telah membunuh …hubungan mesra kami.” Fahamlah Dzar seluruh perincian cerita di sebalik tangisan kecewa Intan. Padanlah Intan sukar menerima cinta yang aku tawarkan, rupanya dia telah dikecewakan adik kembarnya dan teman lelakinya sendiri. Dzar memahami kekecewaan Intan adalah kerana putusnya hubungan mereka sebelum ini. Mungkin Intan amat menyesal memutuskan hubungan dengan saudara kembarnya dan penghujung ceritanya adalah duka.
“Elok Intan ambillah cuti, pergilah melawat dia. Luangkan masa bersama dia. Hargailah masa-masa lewat yang masih ada bersama dia.” Pujukan Dzar menguatkan hati yang lemah dan resah. Intan mengangguk lemah. Tentu ibu akan gembira mendengar berita gembira ini. Alangkah manisnya pertemuan di sebalik ceritera duka.
“Maaflah Dzar kena memandu sampai ke Penang pula malam ni.” Perbualan mereka membawa mereka hanyut menyeberangi Jambatan ke Pulau Pinang, kerana Dzar tidak mahu bicara mereka terhenti di pertengahan jalan. “Intan, jangankan ke Pulau Pinang, ke bulan pun saya sanggup bawa Intan. Kalau itu yang diperlukan untuk membeli hatimu.” Dzar berbicara sendirian lagi. Dia hanya memandang sepi Intan yang mengintai pandang keluar tingkap. Sorotan mata Intan nampaknya memandang jauh, mungkin memikirkan Di yang jauh di sana. Dzar merasa bangga akan kesudian Intan menceritakan sebahagian rahsia hidupnya kepadanya. Mungkin dengan layaran masa, Intan barangkali sudi berkongsi hidupnya pula.
Dari Pulau Pinang, Dzar segera berpatah balik ke Machang Bubok. Kali ini mereka tidaklah pula berkesempatan untuk menikmati makan malam bersama. Sedu sedan Indan seolah menjadi muzik pemisah untuk merasa gembira. Sekurangnya, ucapan terima kasih Intan yang datang terus daripada hatinya menjadi penyeri hati Dzar untuk sekian lama. Jelas daripada pilihan Intan, antara Dzar dan Adi, Intan telah memilih bersama lelaki Melayu yang terakhir yang mungkin boleh membeli jiwa raga Intan. Mungkin!

Petikan bab 9, bahagian 1

Sekembalinya Intan dari new york, disinggahi perasaan baru. Dia merindui Adi Faris! Dan sesekali diasak rindu dengan Dzar yang sabar melayani kerenahnya...


******
BAB 9:PENCARIAN CINTA
1
Dia kembali menghirup udara yang menerobos melalui jejaring tingkap ke dalam biliknya. Semuanya seakan memberi ruang kelegaan yang melapangkan fikiran Intan. Bauan bunga kenangan atau dari segi saintifiknya dipanggil Ylang-ylang yang ditanam di sudut dapur mak ngah seolah memberi aura gelombang bunga yang menyegarkan minda. Bauan yang disedut sedalam-dalamnya memberi kelapangan yang tidak terungkap dengan perkataan. Agaknya benarlah seperti yang dirumuskan daripada kajian saintifik, haruman wangian daripada bunga seperti kenanga ini mampu mengatur aliran kelenjar andrenalin yang terdapat dalam sistem saraf sehingga menimbulkan perasaan yang nyaman dan tenteram. Padanlah menurut amalan orang-orang tua dahulu, mandi bunga dapat menjadikan fikiran yang lapang selain menyegarkan tubuh. Cuma perbezaaannya, orang-orang lama kita dahulu tidak dapat memberikan penjelasan secara sainstifik. Menyedut bauan bunga kenangan lagi menjadikan jiwa Intan merasa lapang walaupun di hatinya terasa sendat dengan kerinduan. Entah mengapa, sejak kepulangannya dari New York, dua hari yang lepas, hatinya terasa sarat dengan memori yang baru dibina di sana. Buat pertama kalinya, hati ‘hawa’nya telah berjaya disentuh oleh ‘adam’ yang lain. Cuma persoalan yang bersarang di hatinya, benarkah apa yang dialaminya. Atau, dia hanya bertepuk di sebelah tangan sahaja!
Intan mengintai keluar, hanya menyaksikan alam yang masih diselubungi dengan kegelapan pagi. Jam baru sahaja menunjukkan jam 6.40 pagi, masih terlalu awal untuknya keluar dari biliknya. Sejak malam tadi, lenanya bagai diganggu. Memori demi memori seolah menggamit Intan agar segera bangun dan menikmati kesegaran alam di sekelililngnya.
Dia segera menekan papan kekunci untuk mengaktifkan komputer ribanya, segera membuka e-melnya. Ternyata kekotak ‘in box’, hanya disinggahi e-mel iklan omongan kosong daripada Bank of Nigeria. Intan agak hampa, Adi nampaknya belum lagi menghantar sebaris pun e-mel untuknya lagi. Dia mencuba meyakinkan hatinya, mana mungkin, baru seminggu di New York, memori yang bersemarak akan berjaya menghidupkan kasih sayang yang sudah lama mati di hatinya, mungkin juga di hati Adi setelah kehilangan Yasmin. Mungkin hanya aku sahaja yang mengasak rindu!
Di luar biliknya, dilihatnya cahaya lampu seolah terang benderang. Pasti Olis berada di depan komputernya lagi. Dikuaknya pintu biliknya, dilihatnya, Olis sedang ketawa, sambil berchatting menerusi Yahoo Mesenggernya. Intan hanya mengintai, mengeluarkan separuh daripada mukanya melihat skrin komputer Olis.
“Hai seronok nampak,” disapanya Olis yang masih lagi ketawa berdekah-dekah di hadapan komputer.
“Hai Kak. Abang Adi ni, kami tengah borak. Katanya sedang melihat gambar yang Olis kirimkan melalui e-mel tadi. Abang Adi kata, Kak Intan ni tak pandai senyumlah. Semua gambar Kak Intan, muncung semacam je.” Kata-kata Olis seolah menikam jantung Intan. Sudahlah sebaris e-mel pun tidak dihantar, dan sekarang aku pula diserang secara peribadi. “Buruk sangat ke aku ini?” Bergetar sukmanya, tatkala mendengar perkataan daripada bibir nipis Olis. Intan hanya mendiamkan diri, sebenarnya jauh di sudut hatinya, dia terguris amat dengan kata-kata Adi tadi. Mungkin Adi sekadar bergurau, mengindahkan kata-kata perbualan mereka, antara Adi dan Olis. “Mungkin hanya penatlah aku menyimpan rindu. Entahkan kepada Adi, aku ini mungkin tiada maknanya?” Intan berteka-teka sendirian, mencipta puzzle hatinya sendiri. “Siapalah aku ini. Adi ada masa berbual dengan Olis dan tiada sanggup mengisi masanya membalas sebaris dua ayat e-melku. Entahlah.” Intan bermonolog sendirian. Dia terasa luka sendirian.
Intan segera memasukkan kepalanya kembali ke dalam bilik. Di bibirnya terukir senyuman sesalan. Hatinya menyumpah beberapa kali, mengapa aku mesti sogokkan rindu kepada orang yang tidak merindui aku? Mungkin, sudah masanya aku menyerahkan ruang hatiku untuk diisi dengan ‘cinta’ Dzar. Mungkin?
Olis agak kehairanan dengan sikap yang ditunjukkan Intan. Semasa di bandaraya New York tempoh hari, semuanya kelihatan elok dan manis pada pandangan matanya. Kak Intan dan Abang Adi seakan mempunyai chemistry yang unik. Intan yang pada awalnya kelihatan malu-malu, nampaknya kemudian seolah mulai selesa dengan Adi. Olis percaya, Intan telah berjaya menjalankan misinya dengan jayanya. Olis menyambung perbualannya dengan Adi. Segera dia melangkah setapak lagi, bertanyakan soalan yang selama ini tidak pernah berani diungkitkannya.
Abang, bila nak balik ke sini lagi? Olis menekan kekunci enter.
Lama juga dia menunggu jawapan Adi. Olis sedar peristiwa luka kehilangan Yasmin menjadi tembok besar pemisah yang menjarakkan antara kemahuan Adi untuk melihat Maya. Pulang ke sini lagi, samalah melihat kembali memori luka kehilangan Yasmin.
Akan balik juga. Bila tiba masanya. Like Intan said, I must do it with my heart, whenever I’m ready.
Olis menarik nafas lega. Dia sendiri sebenarnya belum berpeluang untuk berbicara mengenai hal ini dengan Intan. Semasa di New York, banyak masa mereka dihabiskan dengan meneroka tempat-tempat baru di sana.
Jadi, okey abang. Jumpa lagi.
Okey. Salam untuk semua.
Perbualan ditamatkan. Olis harus mengucapkan terima kasih kepada Intan. Disebabkan Intan, sekurangnya separuh daripada impian mereka untuk mengembalikan Maya di sisi ayahnya hampir tercapai. Olis bangun dan mengetuk pintu bilik Intan perlahan.
“Masuklah Olis,” suara daripada dalam menjemputnya masuk, perlahan. Dilihatnya Intan terbaring di atas katil besinya.
“ Boungiomo, Abang Adi kirim salam.”
“Boungiomo, Hmm Salam je.” Bisik hati Intan lagi. Nampaknya penat sahajalah pungguk merindu bulan, bulan nampaknya tidak menyedari kehadiran sang pungguk pun. Dia sudah fasih benar dengan ucapan selamat pagi yang diucapkan Olis tadi mengikut dialek Itali.
“Terima kasih kak kerana menjayakan misi kita hari tu. Apa yang kak cakapkan dengan abang Adi hari tu?” Soalan Olis benar-benar mengembalikan memori kepada Intan. Mengenangkan perbualannnya dengan Adi, dia menjadi terkesima sebentar.
“Kak tanyalah kenapa dia tak mahu ke sini? Tak mahukah dia melihat Maya membesar di hadapan matanya?”
“Habis apa kata abang? Dia ada kata nak balik ke sini? Ada dia kata dia kesiankan si Maya tu?”
“Olis, satu persatu okey. Sebenarnya, banyak soalan yang Adi tak jawab pun. Kak rasa biarlah dia yang tentukan. Dia kan seorang lelaki dewasa. Biar dia fikirkan dengan mindanya sendiri, pilih dan tentukan sesuatu yang paling baik untuk dirinya sendiri.” Intan membuka bicara sambil mengenang peristiwa manis ketika dia membisikkan kata bicaranya dahulu, berada bersama-sama melihat Pokok Krismas gergasi di Madison Square.
“Olis harap sangat sebenarnya kak, kalau seorang wanita yang akan mencairkan hati abang yang sudah lama beku. Wanita itu akan dapat mengikat abang dengan cinta, lalu membawa dia kembali ke dalam hidup Maya semula. Maya perlukan ayahnya.”
“Hui, tak pulak kak yang Olis ni minah jiwang. Sasterawan. Jiwang-jiwang juga, tahun ni STPM, jangan tak belajar pulak.”
“Tahulah Olis.” Olis memuncungkan mulutnya, seolah mengejek Intan. Intan memahami sepenuhnya bicara Olis, cuma dia bimbang untuk bertaut rasa dengan Adi, bimbang perasaannya hanya bertepuk sebelah tangan. Malah dia bimbang kalau perasaannya tidak pun dicuit di hati Adi.
“Albert Einstein say, The best way to cheer yourself is to cheer somebody else up, itulah sebabnya Olis tengah menceriakan hidup kak ni,” bidas Olis lagi secara tiba-tiba.
“Hai sejak bila pulak yang Olis ni dah baca buku Einstein pulak? dan hidup kak ni tak ceria ke?”
“Sejak berkawan dengan otai Intan ni la. Hidup kak,… biar Olis fikir dulu…” Senyuman Olis seolah menyapa mesra pandangan mata Intan. Pandangan mata bertaut. Pada pandangan mata Olis, lirikan Intan menceritakan segalanya. Indahnya menyaksikan kemesraan yang ditunjukkan oleh kedua gadis yang sama-sama berbaring bermalasan di atas katil bersama.
“Kak rasa, abang Dzar tu ada peluang tak untuk menawan hati akak?”
“Eh Olis ni. Tadi jadi P.A abang Adi, sekarang P.A abang Dzar pulak? Tapi kenapa pula dengan soalan tadi tu?” Terasa pelik pula di hati Intan apabila tiba-tiba sahaja Olis mengasaknya dengan soalan yang begitu.
“Kalau sms dia pun kak tak jawab, apakah lagi jawapan hatinya. Dan P.A tu apa pulak kak?”Intan memandang pelik mendengar jawapan Olis. Dia hanya dapat mengagak, agaknya, sudah ada sms yang mendarat masuk ke simpanan smsnya. Kebetulan dia belum berpeluang pun melihat telefon bimbitnya lagi.
“P.A. Personal assistant.” Intan menjawab sambil menyambung ketawanya sebelum mengutarakan soalan yang lain. “Kenapa, abang Dzar ada cakap apa-apa ?”
“Tak de. Dia Cuma pelik kak tak balas sms dia. Dia kata nak ajak kita keluar.”
“Ooo. Cakap je dengan Dzar, malaslah. Penat lagi. Pening kepala pun ada juga. Kita kan baru sampai di sini. Ajak je dia ke sini. Hari ni kak masakkan seafood olio.” Senyuman Intan mengkagumkan Olis. Pelik juga. Alih-alih sahaja, Intan tiba-tiba berminat untuk memasak, mungkin terkena ‘angin’ tukang masak dari sana agaknya.’ Di New York minggu lepas, mereka kerapkali sama-sama membantu Adi memasak di dapur. Adi yang berkerjaya sebagai ketua chef di Restauran bernama Malaysia, sebuah restoran yang diusahakan oleh seorang rakyat Malaysia dari Batu Pahat.
“Okey kak. Roger and out.”
“Maya mana?” Tiba-tiba Intan terasa rindu dengan keletah Maya.
“Ada. Tidur lagi. Mak kata, dia bukan main rindu dengan kita. Tercari-cari dia selama seminggu. Kak ni sebenarnya mencari jawapan pasal Maya ke bapa Maya?”
“Okey. Kak nak basuh baju. Jangan lupa bagitau Dzar ya.” Senyuman Intan semakin mengelirukan Olis. Sesaat tadi dia berbicara mengenai Adi, dan tiba-tiba sesaat kemudian, berbicara mengenai Dzar pula. Intan menepuk punggung Olis perlahan sambil menahan ketawa. Dalam hatinya terselit perasaan gundah. Dan agak aneh perasaan yang dia miliki sekarang, sejak ke New York, Intan sudah berjaya melupakan Adam. Nyanyian Leona Lewis yang sudah lama berkumandang di corong radio bagaikan magnet yang menarik hati Intan akan mendengarnya terus.
Go ahead and say goodbye
I’ll be alright
Go ahead and make me cry
I’ll be alright
And when you need a place to run to
For better for worse
I got you
Go ahead and say goodbye (go ahead)
I’ll be alright (say goodbye)
Go ahead and make me cry
I’ll be alright
And when you need a place to run to
For better for worse
I got you
Terasa sedikit celaru dengan perasaannya sendiri, terasa rindu dengan Adi, tetapi pada masa yang sama ingin bertemu Dzar. Adakah ruang di hatinya, tersimpan untuk Dzar? atau dia menyimpan rindu untuk Adi? Adakah rindunya akan berbalas?

Petikan bab 8, bahagian 1

BAB 8:LEPASKANLAH CINTA ITU…
1
Intan terasa asing sekali apabila ibunya masih lagi berbicara perihal Adam. Sudah beberapa kali sejak dua bulan ini, ibunya bercerita tentang Adam. Juga bercerita tentang Deena. Intan merasakan ibunya masih lagi asyik sendu memikirkan nasib Di dan Adam. Dan Intan terasa sesak kerana ibunya mungkin sudah lupa, hati Intan juga tetap disakiti ketika diluahkan cerita tentang Di. Cerita tentang Adam. Hanya Adam, lelaki yang pernah Intan miliki hatinya. Semua cerita ibu hanya menjurus kepada simpatinya ibu ini kepada situasi anak dan menantu lelakinya sahaja. Tiada yang lain. Barangkali ibunya lupa untuk menyedari bahawa setiap saat cerita itu menjalar bermula daripada gelombang telinganya dan bergerak ke dalam setiap saraf ke mindanya, dan akhirnya berpaut lagi di parut luka lamanya. Parut luka akhirnya berdarah kembali, dan luka lama seolah membuka kisah sejarah luka yang sudah hampir dilupai Intan. Sedang mata melirik ke telefon bimbit sahaja membuatkan hati Intan terluka lagi, hadiah pemberian Adam di depan mata.
“Intan…, Intan dengar tak cakap ibu ni?” Pertanyaan daripada ibunya seolah menyentak segala angannya tentang cerita Deena dan Adam.
“Maaf ibu. Intan ter…”
“Ibu yang sepatutnya meminta maaf, Intan. Kadangkala Ibu lupa cerita Adam dan Di hanya akan melukakan hati Intan. Ibu...” Terdengar esakan ibu di hujung gagang sana. Intan sedari situasi ibunya yang kesedihan melihat nasib yang menimpa Di dan Adam.
“Ibu, Intan sudah lama maafkan Adam dan melupakan segalanya. Cuma kadang-kadang sukar mendengar nama Adam untuk dibicarakan lagi, Ibu. Intan sentiasa berdoa agar Adam akan sembuh semula.” Intan cuba menyatakan bahawa dia sememangnya sudah berjaya melepaskan ‘tembok halangan’nya untuk merasai bahagianya. Cuma, payah baginya melepaskan cinta lama yang sudah lama berbekas di kolam hatinya.
“Intan, dengarlah nasihat ibu ni. Lupakan Adam. Lupakanlah yang dia pernah menyintai Intan. Lupakan tentang kisah cinta Intan. Kalau tidak nak, Intan tak akan dapat kecapi hidup bahagia. Intan berhak untuk merasai bahagia.” Kepiluan Siti Sarah mengenai cerita Di akhirnya berpihak kepada Intan. Dia sedari hati anak sulungnya ini penuh dengan duri-duri luka yang merobek hatinya. Dia hanya mengharapkan agar Intan akan melupakan ceritera lukanya dan memberi peluang dirinya untuk merasai bahagia.
Intan hanya mengangguk, diketipkan bibirnya perlahan, menahan air matanya yang gugur lagi kesekian kalinya. Mendengar nama Adam mengundang keresahan dan kesedihan, apatah lagi memikirkan nasib Adam yang masih terbaring dalam keadaan koma. “Aduhai, cinta hatiku, aku hanya mampu berdoa dari kejauhan ini,” bisik hatinya lagi.
“Kalau betul Intan sudah memaafkan Adam, pulanglah ke sini Intan. Lawatlah dia. Sudah dua bulan dia berkeadaan begitu, tidakkah Intan terfikir untuk bertemunya? Mana tahu kalau kemaafan yang Intan hulurkan boleh menjadikan dia sedar semula. Kata doktor yang merawatnya…”
“Apa ibu, apa kata doktor?” Intan terasa bimbang dengan ayat terakhir ibunya yang belum sempat dihabiskan. Walaupun masih bersedih dan pilu dengan berita perkahwinan Adam, dia amat berharap ‘satu-satunya kekasihnya’ itu berada dalam keadaan sejahtera yang berpanjangan.
“Sudah banyak perkembangan yang berlaku pada Adam. Semalam, ada masanya jemarinya ada sedikit pergerakan. Tapi seperti selalu, doktor tidak dapat mengagak bila dia akan sedar semula.”
“Baguslah kalau begitu ibu. Bagaimana dengan Di?” Intan sedar sejak dia berpindah ke Machang Bubok ini, hanya dua kali dia pulang ke rumahnya di Bandar Tun Razak. Itu pun hanya selepas dia berjaya mempastikan dia tidak akan bertembung dengan Di atau pun Adam. Sekali semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas. Pada masa itu Di dan Adam sekeluarga menyambut hari lebaran di Kota Kinabalu. Dan sekali lagi sebelum dia berangkat ke Kota Kinabalu baru-baru ini. Permintaan ibunya agar dia pulang bagi melawat Adam dan Di barangkali menjadi satu permintaan yang terlalu berat untuk dilaksanakan.
“Ibu nampak Di okey tapi itulah, ibu rasa simpati dengan dia. Ibu harap Di akan tabah. Dan Intan, jangan pula ambil hati dengan kata-kata ibu ya. Lupakan dia Intan. Mulakan hidup Intan yang baru. Anak ibu ini wajar mendapat kasih baru. Intan faham kata ibu?” Suara keibuan yang terpanjang menerusi telefon genggam Intan bagaikan penawar sukma Intan.
“Janganlah ibu risau ya. Intan sudah benar-benar redha dengan apa yang berlaku.” Intan membalas ayat ibunya dengan senyuman. Dia tahu dia perlu melepaskan beban hatinya untuk melangkah ke hadapan, melupakan dan memaafkan Adam.
Ketika komunikasi ditamatkan, juntaian air mata Intan bersambungan lagi. Resah bagi melepaskan luka dalam hatinya. Resah mendengar berita Adam yang masih lagi merisaukan dia. Menyintai dia bermakna membiarkan dia bahagia. Dia harus melepaskan ‘cinta’ Adam pergi. Dia seharusnya memberi peluang hatinya agar dimiliki lagi.
Paluan di muka pintu biliknya sekali lagi menyedarkan dia daripada angan pendeknya. Segera dia menghilangkan saki baki mutiara kepiluan yang menitik jatuh ke pipinya.
“Kak Intan, jadi tak pergi ni, Abang Dzar tanya.” Suara Olis dari luar mencuit halus di hujung telinganya. Baru dia ingat, Dzar ada mengajaknya menonton filem bersama. Kata Intan, dia akan berfikir dulu. Agaknya penat Dzar mendail telefonnya tadi. Lama juga dia berbuat dengan ibunya. Segera dia menguak daun pintu.
Olis yang berbaju T merah cili segera menyapanya lagi, “Tak baiklah kak ni. Biar je abang Dzar menunggu keputusan kak. Jadi ke keluar? Abang Dzar kata kalau kak tak jadi keluar dia nak ke ladang je.” Sinis dan sedih sahaja bunyi ayatnya, membuatkan Intan tersenyum. Pandai juga Dzar menggunakan psikologi. Reverse psikologi lagi. “Pandai pulak dia mengumpan aku keluar,” bisik hati Intan lagi.
“Cakap balik dengan abang Dzar, kita jumpa dia kat ladang dia je lah. Tengok je Avatar dia kat padang tu.”Sengaja Intan mengenakan dia balik. Intan melihat Olis segera mendail telefon rumahnya dan bercakap dengan Dzar.
“Kak, abang Dzar kata dia sampai dalam 30 minit.” Intan tergelak kecil mendengar kata-kata Olis. Agaknya cuak juga si Dzar mendengar kata-kata aku tadi. Bersuara lagi, hati Intan berbisik.
Selesai ke bilik mandi, Intan membuka almari bajunya. Buat pertama kalinya, untuk keluar bersama Dzar, dia gagal memilih baju yang dirasakan sesuai. Sekiranya dia berbaju merah, terasa bagai mahu cepat pula mengumpan hati si lelaki yang ternyata bagai sudah mabuk kepayang dengannya. Sekiranya baju hitam atau putih, tentunya bagaikan menggambarkan ‘jiwanya’ yang sudah mati untuk dimiliki oleh mana-mana lelaki lain lagi. Baju berwarna hijau mungkin lebih melambangkan ‘kesegaran’menandakan bagai pohon yang telah patah, menanti cahaya matahari dan air bagi menghidupkan tunas kembali.
‘Kalau dengan siraman kasih yang bertepatan, mungkin, hati perempuanku ini boleh kau miliki Dzar,’ hati Intan berbisik lagi. Intan menyedari akhir-akhir ini, hatinya sering kali berbisik sendiri, apabila apa sahaja persoalan yang dikaitkan dengan Dzar. Agaknya, adakah hatinya sudah mulai memberi ruang untuk Dzar bertahta.
“Amboi, cantiknya kak hari ini. Baju hijau kepala itik ni nampaknya kena dengan akak la.”
“Sesuailah dengan abang Dzar yang selalu bermain dengan itik-itiknya.” Ketawa Olis yang panjang menjengkelkan Intan. Olis segera meninggalkan Intan yang masih bersiap di biliknya.
Sapa Olis mesra sebaik sahaja Intan mencecah kakinya ke ruang tetamu. Mak ngah dan Maya yang leka menonton rancangan Disney segera menoleh apabila mendengar suara Olis menyapa Intan. Maya segera berlari dan mendakap kaki Intan dengan sebutan pelatnya, “Wayong.. wayong…” seolah merayu meminta agar Intan mendukungnya. Segera Intan mengangkat tubuh kecil yang akan menginjak ke usia dua tahun beberapa bulan lagi. Maya tersenyum manis sambil menguis pipi Intan.
“Hai lawa benar hari ni Intan. Macam istimewa aje.” Mak ngah mula mengusik Intan. Pada pandangan matanya, Intan nampak betul berbeza daripada biasa. Biarpun hanya berseluar jeans dan berblaus ke paras lutut, rambut Intan yang dibiar terurai ke belakang, dengan gincu yang nipis dan berbedak sekadar adanya, Intan dapat berseri.
“Ala, kan tiap-tiap hari Intan lawa. Wayong cantik kan Maya.”
“Cantik… cantikkkk,” sambut Maya berulang kali. Perkataan baru yang baru saja dipelajari Maya. Pujian Maya disambut ketawa berderai mereka bertiga.
“Olis pun cantik juga. Baju t-shirt berona coklat cair dan seluar panjang warna mentega akan mencairkan hati abang Dzar.”Intan sengaja mengejek Olis.
“Ala, kalau cantik pun abang Dzar nampak kak Intan aje,” disambut oleh ketawa.
Deruan kereta Dzar yang tiba di halaman berjaya menjadikan ketawa mereka terhenti seketika. Tentulah tidak manis jika Dzar mendengar perbualan nakal antara mereka. Segera Intan dan Olis beredar dan menghampiri kereta Ford Escape berwarna biru. Dzar membuka pintunya dan segera menjenguk mukanya ke dalam ruang rumah.
“Mak ngah, saya bawa Olis dan Intan keluar ya. Kalau lambat sikit balik, tak apakan?”
“Tak pa. Jangan tak balik langsung ya.” Mak ngah segera mengizinkan mereka pergi berlibur. Baju t-shirt kelabu yang dipakai Dzar segera ditangkap oleh sepasang mata yang duduk di kerusi belakang di bahagian penumpang. “Apalah abang Dzar ni. Kalau iya pun janganlah pakai warna kelabu. Macam seolah membayangkan masa depannya bersama Intan yang juga kelabu.” Olis tersenyum sendirian.
“Kenapa Olis, tersenyum sendiri. Pelik abang tengok?” Dzar segera bertanya, setelah terpandangkan senyuman Olis di cermin hadapan.
“Hai abang, sejak bila pulak kita tak boleh senyum. Senyum tak salah kan Kak Intan?”
“Senyum memang tak salah, tapi kalau senyum sendiri tu kiranya bahayalah cik adik oii.” Intan memberi jawapan sambil tersenyum kembali.
“Ala, masuk sebelah abang Dzar pulak. Tak acilah macam ni.”
“Aci tak aci. Tapi memang betul kata Kak Intan,” sambung Dzar mengusik terus.
Olis tidak menjawab lagi, hanya tergelak sendirian. Nampaknya komunikasi Intan dengan Dzar semakin baik kebelakangan ini. Sebelum pemergian mereka ke Kinabalu, setiap patah kata-kata Dzar pasti akan dipatahkan Intan. Daripada cerita Intan, jelas, sikap terlalu merendah diri Dzar tidak dia senangi. Tayangan gambar Avartar dan makan malam yang indah tidak begitu Intan endahkan. Dalam kotak fikirannya, terbayang akan kata-kata ibunya. Mungkin sudah sampai masanya, dia memaafkan Adam dan Di. Mungkin sudah ketikanya dia melepaskan cintanya pergi. Mungkin sudah ketikanya dia membuka ruang cinta untuk pria yang lain. Mungkin untuk Dzar! Siapa tahu!
“Kenapa dengan Intan hari ni. Macam semacam aje.” Hanya kata-kata itu yang Intan dengari sepanjang perbualan Dzar dan Olis dalam perjalanan balik mereka ke rumah Mak ngah.
“Maaf lah Dzar. Tengah fikir pasal adik saya.”
“Adik? Kenapa dengan dia?” Dzar bertanya balik. Pelik. Sebelum ini, belum pernah pun sepotong ayat Intan menceritakan perihal keluarganya.
“Suaminya kemalangan, masih dalam koma, sudah menginjak ke bulan kedua. Dan saya belum pun melawat dia.”
“Dia di mana? Bila terjadi kemalangan tu?”
“Kuala Lumpur. Masa kita di Kinabalu hari tu.”
“Kenapa tak cakap, kalau tidak saya hantar Intan balik KL. Kita tak tengok wayang pun tak apa. Keluarga kan lebih penting. Kenapa Intan tak pergi tengok lagi. Dua bulan kan sudah agak lama?”
“Entahlah Dzar. Saya tak tahu jawapannya. Terima kasih atas tawaran awak tu. Tapi minggu depan saya akan balik dengan Olis, kan Olis. Naik pesawat je, senang.”
Olis hanya mendiamkan dirinya. Dia memahami konflik perasaan yang Intan alami. Dia sedar perasaan cinta Adam yang mungkin masih lagi bermukim di hati Intan. Dia tahu segalanya yang berputar dalam minda Intan.
Tiba-tiba segalanya menjadi sunyi dan sepi. Sepanjang sepuluh minit terakhir itu, semuanya mendiamkan diri melayani perasaan sendiri. Dzar mulai berfikir, perasaan Intan ini sukar ditelah, ada kalanya dia seolah memberi sedikit ruang hatinya untuk diterokai, ada masanya dia seolah menguncikan hatinya untukku. Mungkin dia belum bersedia untuk memberi komintmennya. Mungkin. Olis sekadar mencuri pandang Dzar melalui cermin tengah kereta Dzar. “Entahlah abang Dzar, mungkin setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Adam, abang akan menemui peluang bersama Intan. Siapa tahu,” dia berteka-teka sendiri. Dan bagi Intan, dia ingin sekali menemui Adam lagi. Dan kali ini dia nekad, untuk bertemu bagi mengucapkan selamat tinggal.